Taman Hidupan Liar Lokawi

Setelah beberapa kali merancang, kali ni baru berkesempatan untuk singgah ke Taman Hidupan Liar Lokawi yang terletak 25km dari pusat bandar Kota Kinabalu. Bayaran masuk ke Taman Hidupan Liar Lokawi ini ialah RM10.00 untuk dewasa dan RM5.00 untuk kanak-kanak berumur 3 tahun hingga 17 Tahun.

Keadaan cuaca agak panas pada mulanya dan kemudian bertukar mendung, hujan rintik dan hujan lebat seektika sebelum reda beberapa minit kemudian. Banyak juga haiwan dan tumbuhan yang terdapat di Taman Hidupan Liar Lokawi ini.

Sebaik sahaja melepasi pintu masuk utama, anda akan nampak sangkar burung kakak tua di sebelah kiri. Pelbagai jenis burung kakak tua dari yang berwarna biru dan merah seperti dalam cerita Rio 2, Burung Kakak Tua Putih dengan tanduk kuning, Burung Kakak Tua Pink dan dua tiga jenis lagi burung Kakak Tua. Kemudian sangkar besar yang berisi burung Kenyalang yang besar dua ekor.

Paling menarik bagi kami ialah kawanan Gajah yang bermain dalam air, sempat juga menyaksikan bagaimana Gajah berak, makan, minum dan mandi. Selepas itu, kami ke bahagian Beruang Madu, ada tiga ekor yang kami perasan dan si Diego memberikan posing terbaik dengan berdiri macam faham sedang diperhatikan.

Kemudian dua ekor Harimau yang pada mulanya baring santai akhirnya bangun selepas hujan turun. Menuju ke bahagian Orang Utan, tidak ada yang menarik sangat mungkin sudah pernah melihatnya di Sandakan. Ada juga seekor Kuda Mini yang jinak dan pandai mendekati orang minta diusap. Agak mengejutkan juga ada juga Lembu Ankoli yang mempunyai tanduk yang sangat besar dan Tembadau. Kami kurang arif juga bagaimana untuk membezakan Lembu, Kerbau, Tembadau dan kumpulan Lembu sebab bagi kami semua saja.

Ada juga memerang dan akhir sekali kami ke bahagian Ular, Biawak, Buaya dan Kura-Kura. Walaupun agak sedikit haiwan reptilia ini yang kami sifatkan sebagai asal ada, namun puas hati juga la.

Kalau anda ingin melawat Taman Hidupan Liar Lokawi ini, kami cadangkan datang pada waktu yang sesuai iaitu pada jam 2.00petang kerana pada waktu ini, haiwan seperti Harimau, Beruang Madu dan Orang Utan akan diberi makan mengikut giliran masa yang telah ditetapkan. Ada juga perkhidmatan Trem disediakan dengan bayaran RM2 untuk setiap orang dan beroperasi pada jam 11.00pagi dan 2.00 petang. 

Jangan lepaskan peluang untuk membawa anak-anak anda ke Taman Hidupan Liar Lokawi ini, kerana kita akan merasai pengalaman yang tidak dapat dijumpai setakat menonton TV atau melayari internet dan membaca buku sahaja.

Sekian untuk kali ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

6 Pantang Larang Ketika Mengambil Vitamin / Suplemen - Pengedar Shaklee Sabah

Apa dia Water Retention

Merkuri Termometer Pecah! Apa Perlu Anda Buat?