Bagaimana Mengajar Anak Untuk Buang Air Di Tandas

Assalammualaikum wbt dan Selamat Pagi,

Posting kali ini saya akan kongsikan bagaimana mengajar anak untuk buang air di tandas. Namun sebelum mengajar anak, ramai antara kita dalam dilema bila masa yang sesuai untuk mengajar anak-anak untuk buang air di tandas? Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa? Dan apakah kelebihan mengajar anak-anak sedemikian.

Ada sebilangan ibu bapa seperti tidak kisah dengan perkembangan ini. Ibu Bapa akan menunggu keajaiban anak sendiri PANDAI untuk mengurus diri dengan buang air di tandas. Bila kita rajin membaca pengalaman anak-anak yang lain, kita akan ada kecenderungan untuk membandingkan anak dengan anak orang lain. 

Ini antara kesilapan yang mungkin dilakukan oleh ibu bapa. Menjawab persoalan BILA MASA YANG SESUAI, ibu bapa boleh melihat kepada perlakuan anak itu sendiri. Soal anak berumur 1 tahun, 1 tahun setengah, 2 tahun, 2 tahun setengah hatta 3 tahun sekalipun, perlakuan anak memberikan signal atau petanda apa yang sedang berlaku.

Anak saya yang kedua memberikan signal dengan membuka lampin pakai buang apabila buang air dalam lampin tersebut. Rasa tidak selesa seperti geli seakan memberitahu bahawa sudah sampai masanya dia diajar untuk buang air di tandas. Begitu juga dengan buang air besar. Dialog seperti "Oo'Oo" dan "Iyak" juga memberikan petanda bahawa dia sudah bersedia untuk diajar buang air di tandas.

Kebetulan isteri sekarang sedang berpantang anak ketiga dan berada di kampung, isteri seringkali berkomunikasi dengan anak kedua dan mengajar anak untuk buang air di tandas. Sepanjang pemantauan kami seminggu ini, diperingkat awal, anak sudah kencing dalam seluar barulah sempat memberitahu bahawa dia hendak kencing. Begitu juga dengan buang air besar, anak akan memanggil ibu tetapi statik di tempatnya berak. Lucu, Penat dan kadang-kadang bikin geram. Tetapi si ibu akan selalu mengingatkan sekiranya hendak kencing atau berak, hendaklah ke tandas. 

Kedua, walaupun anak sudah kencing dan berak dalam seluar, jangan penat untuk membawanya ke tandas dan memberitahu berulang-kali. Perlakuan ini penting supaya anak akan ingat dan menyimpan dalam kotak memorinya bahawa sekiranya hendak kencing atau berak, dia perlu ke tandas.

Ketiga, pada masa ini si anak akan rasa kekok untuk berak mencangkung. Ya itu sudah pasti kerana selama ini samada kencing atau berak, si anak akan berdiri. Maka diperingkat awalnya, jangan dipaksa anak untuk duduk. Memadai dengan mengajarnya bahawa sekiranya hendak berak, mesti duduk di mangkuk tandas. Jika dipaksa, dikhuatiri anak tidak mahu berak di tandas kerana TERPAKSA duduk. Mudah dan ringan perlakuan ini tetapi tidak untuk si anak.

PERSEDIAAN YANG PERLU DILAKUKAN OLEH IBUBAPA

Mengajar anak untuk buang air di tandas bukan perkara yang senang. Ibu bapa perlu bersedia dengan beberapa perkara.

Pertama, bersedialah untuk PENAT. Jangan mudah putus asa sekiranya si anak kencing merata dan terpaksa membasuh dan mengeringkan tempat kencing si anak. 

Kedua, JANGAN MARAH. Tingkatkan kesabaran dalam mengajar anak untuk buang air, kerana si anak tidak akan terus pandai. Ianya memerlukan latihan dan ulangan agar ianya masuk dalam kepala si anak.

Ketiga, berikan HADIAH atau rewards jika anak berjaya melalui langkah-langkah buang air di tandas. Contohnya, anak kencing diseluar tetapi berjaya memberitahu adalah satu kejayaan, berikan hadiah gula-gula atau pujian kepadanya. Anak sampai ke tandas tetapi tidak dapat menahan kencing dan kencing juga dalam seluar, teruskan memberi pujian. Langkah ini akan mendorong si anak untuk terus berusaha sehingga berjaya.

Keempat, Ibu Bapa seringkali membandingkan anak dengan anak orang lain. Sehingga kadangkala tidak sedar ibu bapa sedang merendahkan kebolehan anak. Jangan sekali-kali membandingkan anak ya. Ini pantang larang dalam mengajar. 

KELEBIHAN MENGAJAR ANAK BUANG AIR DI TANDAS

Semestinya inilah yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa jika anak buang air di tandas. Apa dia?
PENJIMATAN!! Selamat tinggal kepada lampin pakai buang. Ramai ibu bapa akan bersetuju dengan kenyataan ini. Satu pek lampin pakai buang sudah berharga RM30 dan setiap bulan ibu bapa akan membelanjakan RM 60- RM100 untuk kuota lampin pakai buang ini sahaja. Dengan mengajar anak buang air di tandas, ibubapa dapat menggunakan kuota lampin pakai buang ini untuk kegunaan yang lain. 

Kedua, ini mungkin jarang diambil berat oleh ibubapa. Selamatkan Alam Sekitar. Dengan mengurangkan penggunaan lampin pakai buang, ibu bapa dapat mengurangkan sampah dan sekaligus menyelamatkan alam sekitar. 

Semoga dengan sedikit perkongsian ini, akan dapat memberikan panduan kepada ibubapa dalam mengajar anak untuk buang air di tandas.

Sekiranya anak merasakan posting ini berguna dan boleh dipraktikkan, kongsikan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan sekitar anda. Jangan lupa untuk tinggalkan komen dan pengalaman anda dalam mengajar anak untuk buang air di tandas.

- Irman Rahaban
- 19 Julai 2017

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

6 Pantang Larang Ketika Mengambil Vitamin / Suplemen - Pengedar Shaklee Sabah

Apa dia Water Retention

Merkuri Termometer Pecah! Apa Perlu Anda Buat?