Info Tentang Paraben

INFO : Bahaya ke Paraben?

Bila sesuatu benda dikaitkan dengan kanser pasti ia akan menjadi buah mulut. Sama juga dengan benda alah methylparaben atau anak beranak keluarga paraben lain seperti propylparaben dan butylparaben. Paraben sebenarnya bahan kimia bernama p-hydroxybenzoic acid yang biasa digunakan sebagai pengawet dalam produk kosmetik. Selain kosmetik, ia juga digunakan secara meluas dalam industri makanan dan juga ubat-ubatan sejak 50 tahun dahulu.

Paraben bersifat anti-bakteria dan anti-kulat dan disebabkan itu ia digunakan sebagai pengawet menghalang pertumbuhan kebanyakan jenis bakteria dan kulat untuk memanjangkan tempoh hayat produk yang dihasilkan serta bertujuan untuk memberi kesan anti-bakteria dan anti-kulat kepada pengguna produk kosmetik berkenaan. Biasanya lebih daripada satu jenis paraben digunakan dalam sesuatu produk untuk kesan yang lebih baik dengan jumlah yang kecil.

Paraben boleh memasuki badan kita melalui kulit seperti mekap, krim pelembap, krim rambut serta ditelan atau dimakan melalui mulut seperti ubat-ubatan, makanan dan minuman. Sejurus methylparaben memasuki badan, ia akan dihidrolisis kepada para-hydroxybenzoic acid dan dikumuhkan melalui air kencing dan tiada bukti yang menunjukkan ia terkumpul dalam badan dan disahkan oleh FDA selamat digunakan dalam kuantiti yang kecil.

Cosmetic Ingredient Review (CIR) telah menganalisa tahap keselamatan penggunaan methylparaben, butylparaben dan propylparaben dalam barangan kosmetik pada tahun 1984 dan mengesahkan yang ianya selamat digunakan dalam barangan kosmetik sehingga tahap 25%. Walaubagaimanapun kandungan paraben yang biasa terdapat dalam produk kosmetik hanyalah sekitar 0.01% hingga 0.3% sahaja dan selamat digunakan.

Adakah benar methylparaben menyebabkan kanser? Hasil kajian tidak dapat membuktikan yang paraben boleh menyebabkan kanser. Paraben tidak dianggap teratogenik, karsinogenik, mutagenik ataupun embriogenik. Memang ada kajian yang dilakukan pada awal tahun 2000 menemui kesan surih methylparaben dalam tumor payudara tetapi tiada bukti selanjutnya yang dapat mengaitkan paraben dengan kanser payudara.

Aktiviti hormon estrogen di dalam badan dikaitkan dengan risiko kanser payudara. Disebabkan molekul kimia paraben hampir sama dengan molekul estrogen maka ia dikatakan boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Berikutan itu satu kajian telah dilakukan pada tahun 1998, menggunakan paraben yang paling kuat iaitu butylparaben. Keputusan menunjukkan ianya 10,000 ke 100,000 kali lebih lemah daripada estradiol iaitu estrogen semulajadi dalam badan.

FDA menegaskan bahawa semua produk yang mengandungi paraben selamat digunakan. Walaubagaimanapun, FDA akan meneliti semula kesan penggunaan paraben keatas kesihatan manusia sekiranya menerima sebarang laporan berkenaan kesan sampingan paraben. Ini kerana setakat hari ini FDA hanya menerima laporan kes alahan kulit sahaja selepas menggunakan produk kosmetik tersebut.

Oleh itu, janganlah risau untuk menggunakan barangan yang mengandungi paraben. Insya-Allah selamat. Lagipun bukan paraben saja yang dikatakan berbahaya malah banyak lagi bahan kimia atau pengawet lain yang boleh memudaratkan kesihatan sekiranya diambil secara berlebihan. Kalau terjumpa produk yang tertulis "Paraben Free" tu bukanlah bermaksud ia tidak menyebabkan kanser tetapi sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Kredit : www.drhasbi.com
Kredit untuk eezanazri.blogspot.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

6 Pantang Larang Ketika Mengambil Vitamin / Suplemen - Pengedar Shaklee Sabah

Apa dia Water Retention

Merkuri Termometer Pecah! Apa Perlu Anda Buat?